RSS

Isnin, 15 November 2010

Ibadah Korban dan Aqiqah

Assalamualaikum..

Semuga artikel ini dapat menambah sedikit pengetahuan kita berkenaan korban dan aqiqah.



Hukum Korban & Aqiqah

MELAKSANAKAN ibadah korban dan akikah amat digalakkan oleh Islam kerana fadilatnya cukup besar. Kaedah melaksanakan kedua-dua ibadah ini hampir sama dari segi hukum dan syarat-syaratnya walaupun terdapat beberapa perbezaan.

Menurut Imam Khatib Syarbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj, hukum ibadat korban adalah sunat muakkad. Bagi yang bernazar, ia akan menjadi wajib, manakala makruh bagi mereka yang sengaja meninggalkannya sedangkan berkemampuan untuk melaksanakannya.
Manakala akikah menurut Imam al-Syarbini dalam kitabnya, al-Iqnaa ialah binatang yang disembelih pada hari kelahiran bayi dan sewaktu mencukur rambut bayi tersebut. Hukum ibadah akikah adalah sunat muakkad seperti mana ibadah korban.

“Namun, ibadah korban dan akikah akan bertukar menjadi wajib sekiranya seseorang itu bernazar untuk melakukannya. Islam menetapkan keadaan dan masa tertentu bagi memastikan ibadah korban dan akikah dapat dilaksanakan sah di sisi syarak,” jelas pensyarah Fakulti Undang-undang dan Syariah, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Wan Abdul Fattah Wan Ismail.

Kekeliruan tentang Korban dan Aqiqah
1.Bolehkah menggabungkan niat korban dan akikah sekali gus?.  
Dalam kitab Tuhfah dan al-Fatawa al-Kubra, Ibn Hajar al-Haitami menyatakan bahawa: “Jika seseorang itu berniat ibadah korban dan akikah ke atas seekor kambing sekali gus maka kedua-duanya dianggap sebagai batal.” Ini kerana korban dan akikah mengandungi makna sunat yang tersendiri. Ibadah korban bertujuan untuk membersihkan diri mereka daripada melakukan dosa, manakala akikah adalah sebagai tanda menyambut kelahiran bayi.

2.Perlu atau tidak orang yang berkorban menyaksikan sendiri penyembelihan haiwan tersebut?.
 Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim bermaksud: “Wahai Fatimah! Berdirilah di sisi korbanmu dan saksikan ia sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu.”Hadis di atas tidak menunjukkan bahawa ia adalah satu kemestian untuk menyaksikan ibadah korban dan akan terbatalnya ibadah tersebut sekiranya tidak berbuat demikian.“Dengan kata lain, ibadah korban dan akikah boleh dilaksanakan secara berwakil bagi pihak yang ingin melaksanakan korban dan akikah sekalipun mereka tidak ada bersama-sama ditempat ibadah tersebut dilaksanakan,” jelas al-Hakim.

3. Apakah fadhilat/kelebihan ibadah korban dan Aqiqah?
Dengan melaksanakan ibadah korban juga dapat menangkis jiwa manusia daripada sikap kedekut dan bakhil. Sebaliknya dapat melahirkan perasaan kasih sayang sesama Muslim dengan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Haj ayat 36: “Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syiar Allah, kamu memperoleh kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat). Kemudian apabila telah roboh (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.
Kelebihan mengerjakan ibadah akikah dalam kitab Sabila al-Muhtadin, Imam Ahmad menyebut, anak-anak yang  dilaksanakan akikah atasnya akan datang pada hari kiamat untuk memohon syafaat bagi kedua ibu bapanya.

4. Bolehkah berkorban bagi pihak orang yang telah mati?
Adapun berkorban bagi pihak si mati ia menjadi khilaf di kalangan ulama berdasarkan khilaf mereka tentang amalan si hidup adakah memberi manfaat kepada si mati. Pandangan yang “Ashah” (paling tepat) dalam mazhab Syafie ialah tidak harus melainkan dengan wasiat daripada si mati.

5. Bolehkah daging korban dikirim ke luar negeri atau bolehkan seseorang membayar sejumlah wang kepada satu badan atau yayasan untuk membelikan binatang agar disembelih dan diagih-agihkan kepada orang yang memerlukannya?

Hukumnya boleh menurut pendapat yang kuat, Pendapat inilah yang dirajihkan Syaikh Salim bin ‘Id Al-Hilali dan Prof Dr Abdullah bin Muhammad Ath-Thayar . Namun, pada asalnya kurban itu disembelih oleh orang yang berkurban di daerahnya. Akan tetapi, apabila ada hajat dan manfaat yang lebih besar untuk dikirim –misalnya ke negeri yang sedang mengalami kelaparan atau tertimpa bencana- maka diperbolehkan. Sedangkan amalan sebagian kaum muslimin yang mewajibkan pengumpulan kurban mereka dari jauh ke satu tempat tertentu atau lembaga tertentu dengan meninggalkan daerahnya yang memerlukan kurban tersebut, maka yang seperti ini tidak ada dasarnya dalam syariat.

Perbezaan antara Korban dan Aqiqah
- Tempoh atau waktu untuk melaksanakan ibadat korban agak singkat iaitu pada hari raya haji dan diikuti dengan tiga hari tasyriq iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah, sebaliknya tempoh melaksanakan ibadat akikah adalah panjang
- Masa untuk melaksanakan ibadah korban ialah apabila telah selesai dua rakaat sunat hari raya dan dua khutbah yang  ringan iaitu 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah pada tiap-tiap tahun. Manakala ibadah aqiqah pula masa terbaiknya ialah hari ketujuh setelah kelahiran, sekiranya tidak dapat dilakukan dalam tempoh tersebut, boleh dilaksanakan dengan tidak melebihi tempoh nifas iaitu 60 puluh hari. Sekiranya tempoh nifas juga tidak dapat dilaksanakan oleh beberapa sebab terutamanya kefakiran, maka boleh dilaksanakan tidak melebihi tempoh susuan iaitu dua tahun. Dalam tempoh itu juga tidak dapat dilaksanakan, maka hendaklah dilaksanakan sebelum berumur tujuh tahun. Sekiranya setelah tujuh tahun juga tidak dapat ditunaikan maka boleh dilanjutkan sehingga mencapai umur baligh.
-Binatang yang boleh disembelih untuk ibadah korban samada unta, lembu, kerbau, kambing , kibas dan biri-biri. Manakala binatang yg boleh disembelih untuk ibadah aqiqah samada kambing. kibas atau bebiri .Menurut Imam Khatib al-Syarbini, seekor unta ,lembu atau kerbau yang hendak dijadikan korban boleh dikongsi bersama tujuh orang manakala seekor kambing/kibas/biri-biri hanya untuk seorang
-Perbezaan antara ibadat korban dan akikah menurut kitab Mughni al-Muhtaj ialah ibadat korban disunatkan diberikan kepada fakir miskin daging yang mentah. Sebaliknya bagi daging akikah, sunat diberikan kepada fakir miskin setelah dimasak kerana Rasulullah s.a.w meminta Saidatina Fatimah untuk berbuat demikian.

Hikmah disebalik perlaksanaan ibadah korban & aqiqah
Seperti yang diketahui, ibadah korban dan akikah selain memenuhi tuntutan agama ia juga sebagai pemangkin untuk mengembangkan syiar Islam. Ini termaktub dalam matlamat utama ibadah ini dilakukan iaitu untuk membantu fakir miskin dan golongan yang kurang bernasib baik di kalangan umat Islam.
“Tetapi, apa yang dapat dilihat pada hari ini, di sesetengah tempat, ibadah korban dan akikah telah bertukar menjadi adat kerana syariatnya tidak dipenuhi. Daging-daging tidak diagihkan dengan betul dan dimasak seolah-olah kenduri biasa.
“Sebenarnya, begitu ramai pihak yang ingin melakukan ibadah tersebut semata-mata untuk membantu orang yang kurang berkemampuan. Ini mungkin disebabkan mereka tidak mengetahui secara khusus tentang kaedah pengagihan yang diamalkan sekarang,” ujarnya.
Bagi memastikan ibadah korban dilaksanakan dengan sistematik khususnya melibatkan pengagihan, sewajarnya ia diberikan kepada penganjur yang boleh mengendalikannya dengan adil dan telus.
“Maka dengan mengadakan program dan akikah di tempat yang umat Islam tertindas seperti Kemboja, Palestin dan Iraq amat bertepatan dengan matlamat ibadah tersebut iaitu membantu umat Islam yang tertindas dan hidup dalam kemiskinan. Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan hubungan persaudaraan di kalangan umat Islam,” katanya.
 
Wallahua’lam
Disusun atur oleh Hasnol Hassan dari pelbagai sumber.

1 ulasan: